Sunday, August 28, 2011

SALAM AIDILFITRI....


Selamat Hari Raya untuk semua muslimin dan muslimat.......
Semoga kehadiran Syawal kali ini memberi keberkatan dan kebahagiaan untuk kita semua.....

Tahun ni adalah tahun ke2 beraya di Rumah Mertua... seperti biasa macam-macam idea ada untuk juadah pagi raya....
Kali ni kami bercadang untuk membuat Mee Rebus @ Mee Kuah....
Rendang dan lemang adalah Juadah utama yang mesti ada di pagi raya.

Esok segala persiapan raya akan dibuat... tahun ni berpeluang lah bakar lemang.....Kalo raya kat kl, beli jer lah jawab nyer...

Jom kita hayati pengertiaan Raya dari perspectif islam...


Hari Raya dari perspektif islam


Satu Syawal akan menjelang tiba, dan akan kita rayakan bersama. Umat Islam di mana saja mereka berada menyambut ketibaan Syawal dengan penuh kesyukuran di atas kurniaan Allah s.w.t. dan berdoa semoga kehidupan mereka seterusnya akan mendapat berkat dan hidayat daripada Maha Pencipta dan Maha Berkuasa.
Kita sesungguhnya amat kagum dengan kesepaduan seluruh umat Islam dalam menyambut ketibaan bulan Ramadan dan ketibaan Syawal. Ramadan dan Syawal merupakan dua bulan suci yang tiba saban tahun untuk menguji umat dan menjanjikan ganjaran bagi mereka yang berjaya.

Falsafah kesatuan umat dalam menunaikan ibadat puasa dan merayakan kemenangan setelah selesai menunaikan ibadat puasa merupakan satu unsur kesatuan yang amat kuat dalam perhubungan silaturahim dan persaudaraan atau ukhuwah Islamiah antara sesama umat Islam.
Islam telah menetapkan bagi kita untuk berhari raya dua kali dalam setahun hijrah, iaitu hari raya puasa dan hari raya kurban atau haji, dalam erti kata lain Aidilfitri dan Aidiladha, kedua-dua hari raya ini ada kaitannya dengan syariah Islam.

Sejarah Islam mencatatkan setelah baginda Rasulullah berhijrah ke Madinah, baginda dapati orang-orang Islam Madinah merayakan dua hari raya yang mereka warisi turun temurun dari nenek moyang mereka. Maka baginda Rasulullah bersabda kepada mereka yang bermaksud : ‘ Allah subhanahua ta’ala telah menggantikan kedua-dua hari raya kamu itu dengan dua hari raya yang lebih baik dari apa yang kamu rayakan itu, iaitu hari raya puasa dan hari raya kurban.’

Semenjak itu kedua-dua hari raya itu dirayakan oleh umat Islam di seluruh dunia dari setahun ke setahun sehinggalah sekarang dan seterusnya. Hakikat ini juga boleh difahami bahawa Islam melayani kehendak dan tabiat semulajadi manusia selaras dengan kenyataan dimana setiap kaum dan bangsa didunia mempunyai hari tertentu sebagai hari besar yang dirayakan oleh mereka.

Umat Islam merayakan Aidilfitri pada setiap 1 Syawal sebagai tanda kesyukuran dan kemenangan. Mereka bersyukur kepada Allah atas kejayaan mereka dalam ibadah puasa sepanjang Ramadhan, kerana ibadah puasa itu merupakan suatu ibadah yang bukan mudah untuk dikerjakan oleh semua orang, melainkan kepada orang yang benar-benar beriman dan bertakwa.
Dari sudut bahasa Arab ‘Aid’ bererti perayaan atau hari ulang tahun. ‘Fitri’ pula bermakna berbuka atau makan minum. Maksudnya, pada hari raya (tanggal 1 Syawal) umat Islam dikehendaki berbuka dan haram berpuasa.

Fitri juga bermaksud tabiat semula jadi. Maksudnya, orang-orang Islam setelah menjalani ibadah puasa selama sebulan disertai dengan ibadah-ibadah lainnya seperti solat Tarawih pada malam-malam Ramadan, bertadarus Al-Quran, qiyamullail, berdo'a, bersodaqah dan sebagainya. Amalan-amalan ini telah melebur dan membersihkan segala dosa sehingga keadaan diri mereka seolah-olah kembali seperti bayi yang baru lahir.
Berdasarkan penerangan di atas, dapat kita simpulkan bahawa 'Idil Fitri adalah hari kemenangan bagi umat lslam, yang berjaya menundukkan nafsu ammarah sepanjang sebulan Ramadhan. Apabila muncul anak bulan Syawal, diri mereka telah bersih daripada dosa, dan mereka sepatutnya benar-benar menjadi orang yang bertaqwa. Inilah matlamat daripada ibadah puasa.
"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa."(Al-Baqarah : 183).
Dihari raya disunatkan bagi setiap umat Islam memperbanyakkan ucapan takbir, tasbih dan tahmid bagi mendapat keberkatan dan rahmat dari Allah. Di dalam kitab-kitab Fiqh dijelaskan, takbir hari raya itu terbahagi kepada dua:
1. Takbir Mursal: Ia sunat dilafazkan sama ada oleh orang yang bermukim atau musafir, di masjid atau di jalan, dengan cara duduk atau berdiri, di pasar-pasar, di rumah-rumah kediaman dan sebagainya.

Waktunya bermula dari ghurub matahari akhir Ramadhan dan berterusan sepanjang malam Hari Raya hingga solat 'Id didirikan pada esok hari. Demikian juga bagi Takbir 'Id Al-Adhha (Hari Raya Qurban) sunat dilafazkan sepanjang malam hingga esok harinya ketika solat 'Id Al-Adhha dilaksanakan.

2. Takbir Muqaiyad: Iaitu takbir yang terikat dengan waktu-waktu solat. Jelasnya ia sunat dilafazkan setiap kali selesai solat. Waktunya bermula selepas Subuh hari Arafah (hari ke-9) dan berakhir selepas Asar 13 Zulhijjah.

Lafaz Takbir Hari Raya
Aidiladha pula sekali lagi umat Islam merayakan kemenangan tanda kesyukuran kehadrat illahi dimana kemenangan yang bukan sahaja terkandung dalam ibadah haji itu sahaja, tetapi lebih dari itu ialah mempunyai hubungan dengan suatu peristiwa yang berlaku pada tahun yang kesembilan hijrah.


Sebagai umat Islam sebenar, Rasulullah menganjurkan kepada kita untuk berhari raya seperti sabda baginda dari At-Tabrani yang bermaksud ‘ hiasilah hari raya kamu dengan takbir, tahlil, tahmid dan takdis (yakni mengingati dan mengagungkan Allah subhanahua ta’ala’


Takbir dan tahlil adalah tanda syukur dan tanda kemenangan sebagai umat Islam. Sebab itulah dalam apa juga acara kesyukuran atau kemenangan, maka umat Islam dikehendaki bertakbir.


Ada dua perkara utama untuk dipenuhi oleh umat Islam semasa sambutan hari raya atau bersempena dengan hari raya :


Pertama – untuk memperbaiki dan mempertingkatkan hubungan seorang dalam hidup bermasyarakat atau lebih dikenali dengan tanggungjawab terhadap masyarakat.
Kedua – untuk membolehkan hubungan dan mempertingkatkan tanggungjawab mengawal dan memelihara kedaulatan Islam dari dicemari atau dikotori oleh fahaman dan pegangan yang diluar batas Islam atau mengikut nafsu, dan bertentangan dengan cara Al-Quran dan hadis Rasulullah . Islam jangan hanya diterima mengikut pilihan yang dirasa sesuai dengan kemahuan dan nafsu semata-mata . Islam menyuruh umatnya supaya rajin bekerja dan sentiasa menjaga kebersihan, dan ini diterima oleh masyarakat. Tetapi bila Islam mengharamkan riba’ , arak dan judi, perkara ini tidak diterima. Sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 85;


Maksudnya :
“Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian dari isi kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain ? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup didunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka kedalam azab siksa yang amat berat. Dan ingatlah, Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan”.

Sementara tanggungjawab dengan Allah, iaitu kita perlu melakukan hubungan tauhid kepada Allah subhanua ta’ala menurut Ibnu Al-Qayyim Al-Jauriah. Hubungan tauhid ini dilakukan dengan kita mengesakan Allah dan jangan sekali kita melakukan syirik kepadanya. Dengan berbuat demikian maka Allah akan memberikan petunjuk kepada mereka untuk memahami agama Islam begitu juga sebaliknya.


Firman Allah dalam surah Al-An’am ayat 125 yang bermaksud :
“Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya ia melapangkan dadanya (membuka hati) untuk menerima Islam, dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik kelangit (dengan susah payah) Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman”.

Disediakan Oleh:Ustaz Haji Mohd. Nawi Bin Haji Ismail







No comments: